Nabi Isa a.s. diutuskan hanya kepada Bani Israil sahaja kerana Ia hanya membicarakan soal Tuhan dan anak cucu Bani Israil sahaja berdasarkan kata-katanya yang bermaksud "Aku bukan datang untuk merombak hukum Torat tetapi hanya untuk menggenapinya" di mana Kitab Torat adalah untuk Bani Israil sahaja seperti maksud 'verses' dalam [Matius 5:17-18] yang berikut:-
-
(Kata Nabi Isa a.s.) "Janganlah kamu sangkakan Aku datang hendak merombak hukum Torat atau Kitab nabi-nabi: bukannya Aku datang hendak merombak, melainkan hendak menggenapinya. Kerana sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sehingga langit dan bumi lenyap, satu noktah atau satu titik pun sekali-kali tiada akan lenyap daripada hukum Torat itu sampai semuanya telah jadi" [Matius 5:17-18].
-
Apa yang diajarkan oleh Nabi Musa a.s dan Nabi-nabi yang dahulu itu adalah jelas untuk kaum-kaum mereka sahaja. Memang penyebar ugama Kristian pergi ke seluruh dunia untuk menyebarkan ajaran Nabi Isa a.s tetapi Nabi Isa a.s. sendiri tiada mempunyai maksud yang sedemikian itu. Apa yang di maksudkan oleh Nabi Isa a.s. sendiri ialah jelas bahawa ajarannya itu hanya untuk kaum Bani Israil dan bukan untuk kaum-kaum lainya sebagaimana katanya:-
-
"Maka jawab Yesus(Nabi Isa a.s.) katanya: Tiadalah Aku disuruhkan kepada yang lain, hanya kepada segala domba yang sesat dari antara (kaum) Bani Israil." [Matius 15:24].
-------------------------------------
Oleh itu apabila Nabi Muhammad s.a.w. diperintahkan oleh Allah s.w.t menjadi Rasul adalah untuk menjadi Rasul untuk seluruh umat manusia bagi melengkapkan ajaran Nabi-nabi yang terdahulu yang hanya untuk sesuatu kaum.
-
Kenabian dan Kerasulan(Rasul/Penyelamat Terakhir/Al Masih untuk semua umat) Nabi Muhammad ini diakui sendiri oleh Pendita Nasrani yang telah belajar dan memahami Torat dan Injil dan keadaan matanya yang buta (anak paman Siti Khadijah yang bernama Waraqah bin Naufal) yang mendengar khabar tentang Nabi Muhammad yang mendapat wahyu melalui Jibrail di Gua Hira' dari Siti Khadijah (isteri Rasulullah) lalu dia berkata: "Quddus, quddus, demi Tuhan yang jiwa Waraqah di dalam tangannya, jika engkau membenarkan aku ya Khadijah, sesungguhnya telah datang kepadanya(Muhammad) namus akbar (petunjuk yang maha besar), sebagai pernah datang kepada Nabi Musa a.s., dia sesungguhnya akan jadi Nabi umat kita ini. Dan katakanlah kepadanya hendaklah Ia tetap tenang!".
No comments:
Post a Comment